Afghanistan
Sahar Gul, gadis diseksa suami
Pembuka tahun 2012, dunia digemparkan
dengan insiden seorang remaja berusia 15 tahun, Sahar Gul, dipukul dan
dikurung dalam tandas oleh suami dan keluarga mertuanya selama lima
bulan selepas enggan bekerja sebagai pelacur.
Sewaktu diselamatkan sekumpulan aktivis
di kediaman mertuanya di utara Baghlan, Sahar ditemui dalam keadaan
cedera parah di seluruh badan.
Menurut polis, selain dipukul, rambutnya
direntap, kukunya dicabut dan dikurung di dalam tandas di bawah tanah
tanpa makanan dan minuman untuk hidup.
“Suami dan keluarga mertuanya turut
mencederakannya dengan puntung rokok dan lidahnya dikerat dengan
playar,” kata jurucakap polis Baghlan.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian
pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai yang menggesa hukuman
dikenakan ke atas di pelakunya.
Ketua hal ehwal wanita Baghlan, Rahima
Zarifi berkata kepada Reuters, Sahar yang berasal dari wilayah
Badakhshan telah dikahwin dengan suspek pertengah Mei 2011 dan telah
dipaksa menjadi pelacur bagi mendapatkan wang untuk keluarga mertuanya.
Sementara itu, polis kanan Baghlan,
Mohammad Zia, mengesahkan ibu mertua dan kakak ipar Sahar telah ditahan,
tetapi membebaskan suami dan bapa mertuanya.
Pakistan
Malala Yuosafzai, gadis ditembak Taliban
Gadis dan pelajar sekolah menengah
berusia 15 tahun, Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan kepada
golongan wanita ditembak oleh Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang
dari sekolah di Pakistan pada 9 Oktober lalu.
Serangan mengejut terhadap Malala yang
juga aktivis paling dikehendaki Taliban itu mendapat liputan penuh media
dunia sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara.
Beberapa pemimpin berpengaruh dunia
termasuk Britain menghulurkan bantuan ke atas Malala dengan memberikan
rawatan membuang peluru di kepalanya.
Kini, Malala yang juga simbol keberanian
dan beribu-ribu pembaca yang mengikuti kisahnya itu menandatangani
petisyen meminta remaja itu dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.
Bercakap bagi pihak gadis itu, bapanya,
Ziauddin Yousafzai berkata, anaknya yang mesra dipanggil Malala mahu
berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya kerana
membantu dia untuk terus kuat.
Kejadian tersebut menarik perhatian
dunia dan Taliban menerusi laman webnya berikrar akan melancarkan
serangan lagi sekiranya Malala masih hidup.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan
Yayasan Amanah NHS, Hospital Universiti Birmingham, Yousafzai berkata,
Malala mahu memberitahu kepada semua bagaimana dirinya sangat bertuah
kerana seluruh dunia mendoakan penyembuhannya.
India
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki
Seorang pelajar perubatan sebuah kolej
di India, yang cedera parah selepas diperkosa beramai-ramai di New Delhi
dan diterbangkan ke Singapura untuk rawatan, meninggal dunia pada Sabtu
lalu.
Wanita berusia 23 tahun itu, yang mana
serangannya dalam sebuah bas menimbulkan bantahan di seluruh India,
meninggal dunia 4.45 pagi (waktu tempatan) di Hospital Mount Elizabeth
di mana beliau dimasukkan untuk rawatan pada Khamis lalu.
Pelajar itu dipindahkan dari Hospital
Safdarjung di tengah Delhi ke Hospital Medanta di Gurgaon, berdekatan
dengan lapangan terbang bandar itu, sebelum diterbangkan ke Singapura.
Menurut sumber, sewaktu kejadian mangsa
bersama teman lelaki yang pulang dari menonton wayang dengan menaiki
bas, diserang enam lelaki. Suspek memukul mangsa dan teman lelakinya
dengan batang besi dan merogolnya secara bergilir-gilir.
Laporan perubatan mendedahkan, mangsa
mengalami kecederaan teruk pada bahagian dalaman badan dan suspek
dipercayai menggunakan batang besi sebagai alat memperkosa mangsa.
Selepas merogol mangsa selama sejam, dia dan teman lelakinya dicampak keluar.
Tahukah anda?
Sesetengah ahli sejarah percaya asal usul keganasan terhadap wanita berkait rapat dengan tanggapan bahawa golongan itu sebagai aset dan jantinanya yang memaksa mereka tunduk kepada kaum lelaki dan wanita atasan lain.
Dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) terhadap Penyingkiran Keganasan terhadap Wanita (1993),
menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah satu manifestasi
perhubungan kuasa yang dari segi sejarah tiada persamaan antara lelaki
dan wanita di mana membawa kepada dominasi serta diskriminasi oleh
golongan lelaki yang menyekat kemajuan wanita.
Keganasan terhadap wanita adalah satu
daripada mekanisme sosial utama yang memaksa mereka berada pada
kedudukan bawah golongan lelaki.
Pada tahun 1980, sebuah mahkamah di
Amerika Syarikat telah mengharamkan hak si suami melaksanakan hukuman
fizikal terhadap isterinya.
Sementara itu, adat menghukum isteri
yang diamalkan masyarakat Britain dengan penderaan sederhana agar si
isteri rajin melakukan kerja telah disekat pada tahun 1891.